Sunday, September 25, 2011
Peringatan buat WANITA :)
RAMAI wanita sering menganggap kitaran haid tidak teratur sebagai perkara biasa dan tidak diberi perhatian serius. Malangnya, masalah berkenaan mungkin menjadi punca kesukaran untuk menimang cahaya mata kelak.
Menurut Perunding Obstetrik dan Sakit Puan Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr Suriati Akmal Mahari, kitaran haid yang tidak menentu antara gejala menunjukkan seseorang wanita itu mungkin mengalami sindrom ovari polisistik (PCOS), punca lazim menyebabkan seseorang itu kurang subur.
“PCOS adalah satu keadaan penyakit sistem reproduksi yang berlaku ketidakseimbangan hormon dalam badan yang memberi kesan terhadap kitaran haid dan ovulasi. Kajian menunjukkan 90 peratus wanita yang mengalami haid tidak teratur mengalami PCOS dan 30 peratus yang tidak mengalami haid langsung didapati mengidap PCOS.
“Ia adalah masalah paling lazim yang menyebabkan seseorang wanita itu gagal hamil, tetapi malangnya sehingga kini tidak ramai yang menyedarinya.
“Bahkan ramai antara wanita di Malaysia mempunyai gejala ini tanpa disedari kerana ia tidak menunjukkan simptom awal misalnya sakit atau deman yang biasa berlaku seperti penyakit lain.
“Bahkan gadis seusia awal 17 tahun juga boleh dijangkiti PCOS. Selain kitaran haid tidak teratur gejala seperti jerawat, kenaikan berat badan serta pertumbuhan bulu roma yang luar biasa antara simptom awal gejala ini.
Menurutnya, PCOS boleh mengganggu proses ovulasi dan penghasilan telur yang berkualiti dari ovari, seterusnya menyebabkan wanita berkenaan mempunyai kitaran haid yang tidak menentu dan boleh mengganggu sistem badan yang lain seperti metabolisme dan sistem kardiovaskular.
“Punca PCOS masih belum diketahui sepenuhnya dan penyelidikan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar. Antara tanda utama PCOS termasuklah tiada ovulasi, ovari yang bengkak yang mengandungi sista kecil di dalamnya.
“Kebanyakan gejala ini berlaku pada wanita berusia 20 hingga 30 tahun tanpa mengira kaum dan budaya. Ia juga kerap terjadi di kalangan sanak saudara tetapi bukan penyakit keturunan.
Meskipun ovari mengandungi folikel dengan telur, folikel berkenaan tidak membesar dan matang sepenuhnya untuk menggalakkan ovulasi. Ovari yang tidak bermasalah biasanya menghasilkan satu folikel matang setiap bulan sebelum dikeluarkan bagi proses persenyawaan di saluran falopia.
Begitu pun, ada juga wanita yang mempunyai penampilan ovari normal, tetapi mempunyai gejala lain. Pada dasarnya ovari yang bermasalah ini juga hiperandrogenik, iaitu ovari menghasilkan jumlah hormon lelaki testosterone dan androstenedione berlebihan.
Ini menyebabkan hirsutism atau pertumbuhan bulu yang tidak sepatutnya seperti pada atas bibir dan dagu (misai dan janggut). Ada kalanya keadaan ini juga menyebabkan penambahan berat badan, diabetis dan penyakit kardiovaskular.
Kajian antarabangsa menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada wanita yang berusia melebihi 20 tahun mengalami masalah ini, dan lebih daripada 40 peratus wanita yang mempunyai masalah kesuburan adalah disebabkan PCOS.
Ramai wanita mengalami gejala atau simptom yang berbeza antara satu sama lain menyebabkan diagnosa secara klinikal menjadi sukar dilakukan.
Ada juga yang mempunyai simptom ringan seperti jerawat kecil selain simptom lebih teruk seperti tumbuh bulu berlebihan pada muka serta keguguran rambut.
Wednesday, August 24, 2011
Sunday, August 21, 2011
Lailatul Qadar =)
HARI ini genap 21 hari umat Islam berpuasa dan sepantas masa berlalu, kita sebenarnya menempuh 10 malam terakhir Ramadan yang didalamnya wujud satu malam yang penuh keberkatan dan keistimewaan.
Malam itu dinamakan Lailatul Qadar yang juga dikenali oleh sebahagian ulama sebagai malam penentuan atau malam pembahagian.
Ini kerana jumhur ulama mengatakan, pada malam itu Allah SWT membuat ketetapan bagi setiap urusan, hukum rezeki dan ajal pada masa depan yang akan diserahkan kepada malaikat mengikut tugas ditetapkan.
Allah SWT dalam surah Al-Qadr, ayat 1-5 berfirman, bahawasanya:
“Sesungguhnya Kami turunkan al-Quran pada malam al-Qadr. Tahukah engkau apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu Jibril serta malaikat akan turun dengan perintah Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang diputus Allah). Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar.”
Sesungguhnya manusia tidak dapat mengetahui bila berlakunya Lailatul Qadar. Oleh itu, bagi bertemu malam ini, seseorang itu perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan melakukan pelbagai amalan dengan penuh keikhlasan dan tawaduk.
Sebahagian ulama berpendapat Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan, di mana besar kemungkinan ia berlaku pada malam berangka ganjil iaitu sama ada 21, 23, 25, 27 atau 29, berdasarkan hadis Rasulullah SAW, iaitu Aisyah RA mendengar baginda bersabda, bahawasanya:
“Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada 10 hari terakhir Ramadan.”
(Riwayat Al- Imam Al-Bukhari) Pada malam itu juga, Jibril AS bersama malaikat lain turun ke bumi untuk memberi salam kepada orang mukmin yang beribadat di mana mereka akan diampunkan segala dosa lalu.
Oleh itu, umat Islam digalak beribadat dengan penuh keikhlasan serta mengharap keredaan Allah sebagaimana hadis riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa berdiri dengan solat dan ibadat pada malam Lailatul Qadar dengan iman dan ihtisab iaitu dengan keyakinan sempurna dan harapan ikhlas untuk memperoleh ganjaran-Nya, nescaya akan diampunkan dosanya yang lalu.”
Namun, lantaran sibuk untuk menyambut persiapan raya, ramai di kalangan kita terlupa hikmah yang ada pada 10 malam terakhir ini.
Ramai antara kita teruja menyambut Aidilfitri dengan pelbagai persiapan hingga terlupa Allah memberi nikmat lebih besar berbanding sambutan hari raya.
Sesungguhnya, walaupun amalan itu sunat, hakikatnya amal itu sebenarnya satu cara kita menampung kekurangan amalan, khususnya amal ibadat fardu yang antaranya diambil mudah atau diabaikan oleh kita.
Beruntunglah orang yang memenuhkan malam itu dengan amal ibadat, apatah lagi jika dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar yang jauh lebih baik daripada 1,000 bulan.
Semoga kita dipertemukan dengan malam istimewa itu kerana kita tidak pasti akan bertemu lagi Ramadan pada tahun depan.
p/s : Sama-samalah kita berdoa segala amal ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan diterima Allah dan seterusnya mendapat keberkatan dan keredaan-Nya =) Amin....
Subscribe to:
Posts (Atom)