CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

we + us... :)

Daisypath Friendship tickers

Followers

Sunday, August 21, 2011

Lailatul Qadar =)



HARI ini genap 21 hari umat Islam berpuasa dan sepantas masa berlalu, kita sebenarnya menempuh 10 malam terakhir Ramadan yang didalamnya wujud satu malam yang penuh keberkatan dan keistimewaan.

Malam itu dinamakan Lailatul Qadar yang juga dikenali oleh sebahagian ulama sebagai malam penentuan atau malam pembahagian.


Ini kerana jumhur ulama mengatakan, pada malam itu Allah SWT membuat ketetapan bagi setiap urusan, hukum rezeki dan ajal pada masa depan yang akan diserahkan kepada malaikat mengikut tugas ditetapkan.

Allah SWT dalam surah Al-Qadr, ayat 1-5 berfirman, bahawasanya:

“Sesungguhnya Kami turunkan al-Quran pada malam al-Qadr. Tahukah engkau apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu Jibril serta malaikat akan turun dengan perintah Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang diputus Allah). Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar.”

Sesungguhnya manusia tidak dapat mengetahui bila berlakunya Lailatul Qadar. Oleh itu, bagi bertemu malam ini, seseorang itu perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan melakukan pelbagai amalan dengan penuh keikhlasan dan tawaduk.


Sebahagian ulama berpendapat Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan, di mana besar kemungkinan ia berlaku pada malam berangka ganjil iaitu sama ada 21, 23, 25, 27 atau 29, berdasarkan hadis Rasulullah SAW, iaitu Aisyah RA mendengar baginda bersabda, bahawasanya:

“Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil pada 10 hari terakhir Ramadan.”

(Riwayat Al- Imam Al-Bukhari) Pada malam itu juga, Jibril AS bersama malaikat lain turun ke bumi untuk memberi salam kepada orang mukmin yang beribadat di mana mereka akan diampunkan segala dosa lalu.


Oleh itu, umat Islam digalak beribadat dengan penuh keikhlasan serta mengharap keredaan Allah sebagaimana hadis riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa berdiri dengan solat dan ibadat pada malam Lailatul Qadar dengan iman dan ihtisab iaitu dengan keyakinan sempurna dan harapan ikhlas untuk memperoleh ganjaran-Nya, nescaya akan diampunkan dosanya yang lalu.”

Namun, lantaran sibuk untuk menyambut persiapan raya, ramai di kalangan kita terlupa hikmah yang ada pada 10 malam terakhir ini.

Ramai antara kita teruja menyambut Aidilfitri dengan pelbagai persiapan hingga terlupa Allah memberi nikmat lebih besar berbanding sambutan hari raya.


Sesungguhnya, walaupun amalan itu sunat, hakikatnya amal itu sebenarnya satu cara kita menampung kekurangan amalan, khususnya amal ibadat fardu yang antaranya diambil mudah atau diabaikan oleh kita.

Beruntunglah orang yang memenuhkan malam itu dengan amal ibadat, apatah lagi jika dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar yang jauh lebih baik daripada 1,000 bulan.


Semoga kita dipertemukan dengan malam istimewa itu kerana kita tidak pasti akan bertemu lagi Ramadan pada tahun depan.



p/s : Sama-samalah kita berdoa segala amal ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan diterima Allah dan seterusnya mendapat keberkatan dan keredaan-Nya =) Amin....

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails